Tuesday 3 January 2012

Selamat Bersekolah Kembali...

Tahun 2011 telah berlabuh tirainya....
Kini tahun 2012 telah membuka lebaran baru buat kita semua.Semoga tahun 2012 sebagai tahun yang lebih baik dan sempurna berbanding tahun 2011.Selamat bersekolah kembali kepada semua murid dan guru . Tahun 2012 pastinya akan merubah diri kita untuk lebih fokus dan cemerlang dalam kehidupan sebagai seorang pelajar dan tenaga pengajar.Semoga azam baru tahun 2012 menjadi pemangkin dan semangat kepada kita semua untuk menjadi yang terbaik.Insyaallah...

Thursday 15 December 2011

Karangan Autobiografi

Karangan autobiografi merupakan karangan yang paling disukai dan digemari oleh setiap murid. Karangan ini sangat diminati oleh murid-murid kerana sangat mudahan seronok untuk dikarang. Berdasarkan pengalaman yang lalu, setiap murid sangat teruja apabila ditugaskan untuk membina karangan autobiografi. Contoh karangan autobiografi yang paling disukai ialah "Aku Sebatang Pensel" , "Aku Sebuah Basikal" dan "Aku Sepasang Kasut".Berikut merupakan satu contoh karangan autobiografi bertajuk "Aku Sebuah Kereta"

Namaku Kelisa. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Rawang, Selangor. Badanku dibuat daripada kepingan-kepingan aluminium dan campuran besi. Aku diwarnakan dengan warna biru yang berkilauan. Aku dipasang dengan enjin, alat pendingin udara, tempat duduk, lampu, radio kaset, dan juga tayar. 

Bentuk badanku agak kecil dan comel. Aku sebahagian daripada keluarga Produa. Aku ialah adik kepada Kancil. Sebelum dipasarkan aku diuji terlebih dahulu. Setelah aku lulus diuji, aku dihantar ke semua cawangan Syarikat Produa Kancil di dalam dan di luar negara. Aku dan  kawan-kawanku dipamerkan dan seterusnya dipasarkan kepada para pelanggan.

Pada suatu petang, seorang gadis berkunjung ke tempatku. Aku tidak menyangka bahawa gadis itu telah jatuh hati kepadaku. Akhirnya, dia bersetuju untuk membeli aku. Beliau tertarik dengan ciri-ciri ekonomi yang ada padaku. Pemilikku bernama Mira Edora. Dia menggunakan aku untuk pergi ke tempat kerja. Tuanku menjaga aku dengan baik dan cermat. 

Setiap tiga bulan, aku akan dihantarnya ke klinik kereta untuk mendapatkan rawatan. Aku berasa bangga kerana dapat berbakti kepada manusia di kota dan juga di desa. Namaku, sudah tidak asing lagi dalam generasi kereta masa kini. Aku masih dihargai dan disayangi oleh pemilikku.

Friday 9 December 2011

Pedoman Ejaan Bahasa Melayu

Ada kalanya kita sering keliru tentang ejaan yang betul dalam bahasa Melayu. Keadaan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan masalah semasa menjawab soalan atau mengarang sesuatu karangan. Situasi ini sedikit sebanyak akan mengurangkan motivasi kita untuk us menguasai kemahiran berbahasa. Di sini dilampirkan pedoman ejaan bahasa Melayu yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan bersama. Semoga bermanfaat kepada kita sebagai rujukan.

Thursday 8 December 2011

Sebutan Baku Bahasa Melayu

Masihkah kita menggunakan sebutan bahasa baku ?

Bahasa baku kini semakin lama semakin dilupakan oleh segenap penutur bahasa Melayu. Ada ketika dahulu pengguaan bahasa baku menjadi satu kewajiban dalam situasi formal atau rasmi seperti berita televisyen atau sistem persekolahan.Namun kini bahasa baku semakin dilupakan dan dipinggirkan. Bagaimanakah tugas kita untuk terus mengekalkannya? Di sini sekadar berkongsi maklumat tentang apa yang dimaksudkan dengan sebutan baku bahasa Melayu.

Sebutan baku ialah sebutan yang digunakan dalam situasi formal atau rasmi.  Antara aktiviti atau kegiatan yang ditakrifkan formal ialah pengajaran dan pembelajaran, ucapan, pidato, ceramah, mesyuarat, wawancara, siaran melalui media elektronik dan sebagainya yang disampaikan dalam situasi rasmi. Perancangan pembakuan sebutan bahasa  Melayu menjadi salah satu objektif Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana  yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Matlamat pembakuan sebutan bahasa  Melayu adalah untuk menyeragamkan cara penyebutannya.  Secara khusus, pembakuan sebutan bertujuan untuk:

 i. Mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam BM yang digunakan dalam situasi formal.
ii. Meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu baku dalam kalangan semua pengguna BM.
iii. Memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu, iaitu supaya sistem sebutan menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, dan laras bahasa.
iv. Secara khusus untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur, dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat dalam pengajaran dan pemelajaran di peringkat sekolah.  

Prinsip umum    

Dasar sebutan baku bahasa Melayu ialah sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. Dengan perkataan yang lain prinsip sebutan baku menekankan prinsip “disebut sebagaimana dieja dan dieja sebagaimana disebut”.

Ketepatan sebutan
Setiap huruf, sama ada dalam ejaan Jawi atau Rumi hendaklah dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkannya. Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan
juga berdasarkan bentuk kata (pola suku kata), sama ada kata dasar atau kata terbitan. Nada suara yang digunakan semasa bercakap hendaklah ditentukan berdasarkan jenis dan bentuk ayat dalam bahasa Melayu serta keperihalan keadaan yang berkenaan. Terdapat kekecualian cara penyebutan bagi beberapa kata tertentu seperti kata rai dan linguistik.

Suku kata 
Prinsip suku kata sebutan baku ialah semua pola suku kata bahasa Melayu wajib dibunyikan berdasarkan huruf dalam suku kata. Semua huruf konsonan dilafazkan dengan nilai bunyinya, sama ada di awal, di tengah atau di akhir kata.  

Sumber : Modul KRB 3033 UPSI




Tuesday 6 December 2011

Teknik Menjawab Soalan BM UPSR

Teknik Menjawab BM UPSR

Monday 5 December 2011

Peribahasa



Peribahasa Budaya Melayu Turun-temurun Warisan Zaman 

Orang melayu memang kaya dengan budaya berbahasa. Setiap tutur kata sentiasa sahaja diambil kira agar si pendengar tidak terlalu terasa hati apabila kita mermerkatakan tentang dirinyanya. Budaya ini menjadi amalan sejak nenek moyang kita walaupun kini semakin hari semakin dilupakan.

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Manakala peribahasa tradisi pula merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda.  

Peribahasa, seperti yang sudah diketahui umum, merupakan satu daripada cabang sastera lama, bukan sahaja bagi bangsa Melayu tetapi juga bagi hampir semua bangsa di dunia. Sebelum ada undang-undang yang mengawal perilaku hidup manusia bermasyarakat, orang bijak pandai dalam sesuatu bangsa pada zaman itu telah mencipta beberapa petua, nasihat atau petunjuk sebagai  peraturan tatatertib pergaulan, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia. Petua, nasihat atau petunjuk itu diambil daripada alam sekeliling, contohnya perangai dan sifat manusia itu sendiri, juga daripada sifat dan tabiat binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Peribahasa yang bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama, unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas pemikiran serta perasaan mereka. 

Dalam konteks masyarakat, peribahasa mempunyai dua tujuan utama, iaitu menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaannya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya.

Contohnya, untuk meluahkan rasa marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa
berikut,
  
Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Harapkan pagar, pagar makan padi

 Menerusi peribahasa juga kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati. Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan Pak Pandir. Peribahasa dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar  dan logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa,perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan 

Kita dapat lihat dengan lebih lanjut lagi tentang peribahasa Melayu melalui http://www.slideshare.net/mohamednaim/pengajaran-peribahasa seperti di bawah ini;






Wednesday 30 November 2011

Teori Asal Usul Bahasa dan Orang Melayu

Hari ini ingin berkongsi cerita secara ringkas teantang sejarah tentang asal usul bahasa Melayu dan orang Melayu.Mungkin ramai antara kita yang sedia maklum tentang sejarah bahasa dan orang Melayu. Namun mungkin juga ada sebahagian kita tidak mengetahui sejarah asal usul bahasa dan orang Melayu. Asal usul orang Melayu sebagai penutur asli bahasa Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam.Namun begitu, terdapat 2 teori tentang asal usul bahasa dan orang Melayu.

1. Teori Orang Melayu berasal dari Yunan.
Teori ini dipelopori oleh para sarjana Barat yang berpendapat orang Melayu berasal dari daerah Yunan iaitu suatu kawasan yang terletak di utara Laos dan barat daya negara China.Terdapat dua gelombang penghijrahan orang Yunan ke Asia Tenggara.Penghijrahan pertama dinamakan Melayu Proto yang berlaku sejak tahun 2500 sebelum masihi dan penghijrahan yang  kedua pula dinamakan Melayu Deutro. 

2. Teori Orang Melayu berasal dari Nusantara.
Terdapat sebahagian sarjana berpendapat bahawa orang Melayu tidak berasal dari mana-mana wilayah sebaliknya telah wujudlama di kawasan Nusantara khususnya kawasan daratan antara Jawa dan Kalimantan yang dahulunya belum ditenggelami air laut.J.Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa iaitu bahasa Jawa.Bahasa Jawa merupakan bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa lain.

Sumber : Modul KRB 3033:Pengantar Bahasa Melayu-UPSI



Sunday 27 November 2011

Sajak dan Komsas

Murid Tahun 3 Bestari 2011 mendeklamasikan sajak Pahlawan/Pejuang Kemerdekaan...

 

Pahlawan/Pejuang Kemerdekaan...

Rakaman video ini merupakan sebahagian daripada tugasan rakaman makropengajaran. Walaupun murid ini baharu sahaja tahun 3 atau tahap 1, namun dapat didengar penghayatan sajak dalam intonasi yang digunakan.Ada kalanya baris-baris sajak yang dideklamasikan menyentuh jiwa dan perasaan.Alat muzik seperti gitar dan seruling memainkan peranan yang sangat penting agar sajak yang dideklamasikan lebih penghayatan dalam jiwa penyajak dan pendengar..

Sajak merupakan satu bentuk puisi moden yang berbentuk bebas yang menjadi tarikan kepada sebahagian besar murid semasa mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Penghayatan ketika mendeklamasikan sajak menjadi asas utama yang memberi kesan mendalam kepada para pendengar. Pengajaran sajak dalam P&P juga sebagai menyahut seruan dasar pendidikan yang ingin memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris atau dikenali sebagai (MBMMBI).

Sajak merupakan satu Komponan Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu atau KOMSAS. Bahasa Melayu mengandungi dua komponen iaitu komponen bahasa dan komponen sastera. Kedua-duanya boleh berdiri sendiri dan saling berkaitan. Seseorang guru bahasa Melayu seharusnya memahami kaedah pengajaran bahasa dan kaedah pengajaran kesusasteraan Melayu secara serentak.Hakikatnya, komponan ini tidak boleh diajasecara berasingan umpamanya seorang guru mengajarkan Bahasa Melayu dan seorang lagi mengajarkan Kesusasteraan Melayu.

Di samping mengajarkan komponan sastera, guru hendaklah menggabungjalinkan elemen pengisian kurikulum yang lain bagi merentasi  semua bidang serta kemahiran bernilai tambah iaitu:

1. Kemahiran berfikir
2. Kemahiran Teknologi maklumat dan komunikasi
3. Kemahiran belajar cara belajar
4. Kajian masa depan
5. Kecerdasan pelbagai
6. Pembelajaran konstruktivitisme
7. Pembelajaran kontesktual

Melalui sajak, unsur patriotisme dan kewarganegaraan dalam P&P dapat diterapkan.Komsas juga diharapkan dapat memupuk cinta dan taat akan tanah air. Keadaan ini bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang kuat, menghargai khazanah bangsa serta meningkatkan kecintaan mereka terhadap agama , bangsa dan negara.












Saturday 26 November 2011

Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1433

Salam Menyambut Maal Hijrah tahun baru Masihi (1433) pada Ahad 27 November 2011, dan 1432 hijrah akan meninggalkan kita, banyak kenangan yang akan kita semua tinggalkan.

Alhamdulilah kerana kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menikmati nikmat-nikmat dari MAHA PENCIPTA SEKALIAN ALAM. Apakah azam kita pada

tahun baru ini? Barangkali ada yang terlupa untuk menyambut tahun baru hijrah kerana terleka dengan kehidupan yang sementara ini. Apapun marilah sama-sama kita ingat mengingati kepada perkara yang membawa kepada sesuatu yang baik.

Pengertian AWAL MUHARRAM
MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting :
~ 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
~ 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku :
~ Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
~ Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

~ Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

~ Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

~ Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

~ Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

~ Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.

~ Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

~ Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

~ Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

~ Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.

~ Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

~ Hari pertama Allah menciptakan alam.

~ Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

~ Hari pertama Allah menurunkan hujan.

~ Allah menjadikan 'Arasy.

~ Allah menjadikan Luh Mahfuz.

~ Allah menjadikan alam.

~ Allah menjadikan Malaikat Jibril.

~ Nabi Isa diangkat ke langit.


Doa Akhir Tahun 

Doa Akhir Tahun dibaca 3x pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun pula, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Doa Akhir Tahun ialah :
Maksudnya:
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah Wahai Tuhan Kami, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini terhadap hal-hal yang Engkau larang aku untuk melakukannya dan aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat atas kelalianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian atas apa yang Engkau ridhai dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.

Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Wahai yang Maha Pemurah, Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas junjungan kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengaruniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun
Doa Awal Tahun dibaca 3x selepas Solat Maghrib (waktu maghrib) pada malam satu Muharram.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Doa Awal Tahun ialah :
Maksudnya:
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang berlimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu disepanjang tahun ini dari syaitan dan para pembantunya dan dari bala tentaranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Amalan-Amalan Sunat :
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam seperti :-

~ Berpuasa. 
Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.
Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
~ Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
~ Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3x
~ Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3x

Semoga dapat kita berkongsi kepada semua. InsyaAllah.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1433.
 
Sumber : busuk.org 

Cuti Sekolah Sudah Bermula.....

Cuti sekolah sudah seminggu berlalu... 
Buat murid-murid semua, selamat bercuti dengan penuh ceria. Semoga cuti persekolahan ini dipenuhi dengan pelbagai akiviti yang bermanfaat untuk kepentingan dan keluarga tercinta. Mungkin cuti sekolah kali ini dipenuhi dengan aktiviti tusyen, bersukan, ziarah, majlis-majlis kenduri, melancong dan ada juga yang membantu ibu dan ayah.Apapun aktiviti yang kita lakukan seharusnya dapat memberi senyuman yang manis buat ibu bapa atau penjaga kita. Walaupun hanya sekecil zarah kita membantu mereka, namun setinggi gunung penghargaan mereka . 

Buat rakan-rakan pendidik, mungkin cuti sekolah pada minggu pertama dan kedua banyak dipenuhi dengan tugasan di sekolah bagi mengemaskini segala tugasan sepanjang tahun 2011.Bak kata pepatah sekarang "tutup buku".Ada juga rakan pendidik yang sedang sibuk bermesyuarat bagi perancangan tahun 2012. Namun apa yang penting semua tugasan yang kita lakukan memerlukan keikhlasan dan keseronokan agar sesuatu yang kita lakukan sentiasa berlangsung dengan kepuasan tanpa sedikitpun rasa terbeban.Bagi yang telah pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Sentiasalah ingat akan orang tersayang memerlukan anda. 

Akhir kata buat semua, selamat bercuti dan sentiasalah merebut lima perkara sebelumnya datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum susah, masa lapang sebelum sempit, masa kaya sebelum susah, masa hidup sebelum mati...

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian...

Sunday 20 November 2011

Hari Anugerah Kecemerlangan 2011

TOKOH-TOKOH PELAJAR SK TOK MUDA 2011

 Anugerah Tokoh Sahsiah 2011-Wan Nur Adila bersama ibunya Cikgu Raja Hazima
Bersopan santun orangnya.

Tokoh Kurikulum 2011~ Nur Anessa Najwa
Seorang murid yang bijak pandai....
Tokoh Kokurikulum 2011- Mohd Najwan ( Picther Terbaik Softball MSSM 2011 )
Balingannya membuat pasukan lawan menjadi goyah.....

Tokoh Murid 2011 ~ Mohd. Zafri
Seimbang dalam sukan dan pelajaran serta sahsiah....
 Barisan tokoh-tokoh pelajar bersama ibu bapa dan guru-guru.
Perhatian dan galakan daripada ibu bapa dan guru menjadi pemangkin kecemerlangan.
Semoga tokoh-tokoh ini akan menjadi idola kepada pelajar-pelajar yang lain....

Ibarat satu keluarga....Guru Besar En. Mohd Isha b. Hj Yusof (KRS) ,Barisan GPK dan guru-guru yang ceria dan spotting. Semoga rumpun bak serai dan junjung bak sirih....








Tuesday 8 November 2011

Meriahnya Sambutan Hari Kanak-kanak

 SK Tok Muda Klang telah mengadakan Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah bagi meraikan mereka serta menceriakannya. Kanak-kanak merupakan aset negara yang terpenting....

 
Sedapnya Aiskrim ... Semua murid pun dapat.....


 Johan Pertandingan Hari Kanak-kanak Tahap 2...Buat Sehabis Baik......


  
 Ni lagi kenyang...Semua pun merasa....


 Johan Pertandingan Hari Kanak-kanak Tahap 1- Tahun 2 Bestari...Papaku pulang dari kota....Boleh tahan juga pemain gitar yang comel-comel...




 Beratur ye sayang sebelum mengambil makanan....


 Warna-warni penuh ceria..... murid tahun 1 Bestari....

 
Kami kembar seiras....Hampir setiap tahun mesti ada anak murid kembar mendaftar masuk ke SKTM...

Monday 7 November 2011

Perkhemahan Bersepadu 29-30 Oktober 2011

 
SILAT PERDANA
Latihan Silat Perdana menyaksikan semua murid bersama-sama berlatih silat yang dibimbing oleh Cikgu  Elmi selaku mahaguru dan penyelaras program perkhemahan bersepadu. Silat merupakan tradisi alam Melayu tinggalan nenek moyang kita yang masih kekal sehingga hari ini.


JOM MAKAN
Guru SKTM bergotong royong dan bersama-sama menyediakan juadah untuk peserta perkhemahan sebanyak enam kali sehari.  Nilai semangat berpasukan dan setiakawan dapat dipupuk melalui gotong-royong ini. Makanan berzat menjadi fokus utama dalam penyediaan makanan. 
 

LATIHAN PERSEMBAHAN MALAM BUDAYA

Laihan persembahan untuk Malam Budaya antara aktiviti perkhemahan ini.Walaupun murid kelihatan agak kekok dan malu-malu pada awalnya, namun lama-kelamaan mereka semakin bersikap terbuka dan berani. Inilah salah satu objektif yang ingin dicapai dalam perkhemahan ini. Malam Budaya pasti menjadi malam paling seronok dan diingati oleh setiap peserta perkhemahan. Semoga kenangan manis ini menjadi memori indah buat semua murid selama-lamanya...

Monday 31 October 2011

Minggu Dokumentasi

Minggu ini sangat sibuk dengan dokumentasi untuk peperiksaan yang telah dijalankan. Laporan Adab Belajar perlu disiapkan untuk diserahkan kepada pentadbir dan diserahkan pula kepada ibu bapa penjaga untuk ditandatangani. Data SAPS juga perlu diisi dengan segera untuk mengelakkan kesesakan dalam talian. Penyusunan kedudukan mengikut aliran perlu dibuat untuk sesi pembelajaran 2012. Buku-buks murid juga perlu disemak terlebih dahulu sebelum dikumpulkan. Penyerahan buku teks juga akan dijalankan pada minggu ini. Minggu yang penuh sibuk dengan urusan dokumentasi sebelum meninggalkan sesi persekolahan 2012. Semua warga pendidik sedang sibuk siang dan malam untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.Semoga semua warga pendidik sentiasa ceria selalu semasa menunaikan amanah sebagai pendidik. Bagi murid pula, kelihatan semakin ceria pada penghujung persekolahan 2011. Semoga murid dapat mengekalkan kehadiran dan disiplin ketika berada di sekolah.

Sunday 30 October 2011

Minggu Peperiksaan

Minggu Lepas merupakan minggu peperiksaan akhir tahun 2011. Semua murid berusaha untuk memperoleh  kecemerlangan bagi meningkatkan prestasi semasa mereka. Ibu bapa dan guru-guru sangat mengharapkan semua dapat menjawab dengan tenang dan memperoleh keputusan yang cemerlang. Keputusan yang cemerlang amat dinantikan oleh murid-murid bagi memperoleh kedudukan terbaik dalam kelas dan aliran. Murid yang cemerlang sudah tentu akan berada di kelas yang terbaik. Di samping itu, biasanya murid-murid akan berusaha dengan untuk mendapatkan tempat pertama di dalam kelas atau sekurang-kurangnya mendapat tempat atau peratus yang lebih baik. Semoga anak-anak didikku sayang sentiasa memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan ini. Peperiksaan ini juga akan menilai sejauh mana pengetahuan dan ilmu murid terhadapa apa yang dipelajari oleh mereka.Di samping itu ada hadiah dan penghargaan semasa Hari Anugerah nanti. Murid cemerlang juga menunjukkan cikgu yang cemerlang pada kebiasaannya. Namun tidak semuanya...

Wednesday 12 October 2011

Kata Ganti Diri

Pada minggu ini , saya telah mengajar murid-murid kesayangan iaitu tahun 2 Bestari dengan kata ganti diri .Jadi pada kali ini saya ingin berkongsi-kongsi pengalaman bersama rakan mengenai penguasaan murid dalam kata ganti diri.Murid-murid memang seronok apabila belajar tentang kata ganti diri disebabkan aktiviti lakokan yang sagunakan. Murid-murid pasti bersorak keriangan apabila cikgu menyatakan hari ini kita akan berlakon.Teruja dengan lakonan tadi tanpa melengahkan masa saya menerangkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan kata ganti diri dan memberikan beberapa contoh yang diberikan oleh murid-murid sendiri.
"Cikgu, bila kita nak berlakon? Saya nak berlakon",kata salah seorang murid.Tanpa melengahkan masa, lakonan kata ganda diri pun bermula. Ada murid yang jadi raja, laksamana, rakyat biasa ,guru dan peragut. Semasa sesi lakonan tersebut murid akan menggelarkan diri mereka sebagai beta, patik,hamba,saya, aku dan seumpamanya yang dikenali sebagai kata ganti diri pertama. Murid juga belajar tentang penggunaan kata ganti diri orang kedua dan ketiga.Murid kelihatan seronok sekali.


Apa yang ingin saya kongsikan ialah murid akan seronok belajar apabila ada sesi pembelajaran yang melibatkan mereka melakukan aktiviti.Dari segi pengisian ilmunya ialah murid menguasai kata ganti diri bagi yang biasa mereka gunakan dalam kehidupan seharian.Namun bagi kata ganti diri seperti beta, tuanku, patik dan hamba,mereka agak kurang menguasainya kerana tidak digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

Moral : 
1.Mengajarlah dengan perasaan seronok agar murid-murid juga seronok dan tidak sabar untuk menunggu waktu cikgu mengajar.

2.Sesuatu yang biasa dilakukan akan mudah diingati dan difahami.





Thursday 22 September 2011

Pengalaman menjadi pelajar semula

Sungguh tidak disangka-sangka, Mac 2011 merupakan satu lembaran sejarah dalam hidupku.Kini aku telah bergelar pelajar kembali setelah meninggalkan zaman belajarku di maktab 11 tahun yang lalu.Aku bersyukur aku telah diterima di UPSI yang merupakan universiti  yang memang menjadi impianku untuk menimba ilmu pengetahuan sejak kecil.Walaupun baru semester 2 di UPSI, namun banyak ranjau yang telah kutempuhi . Insyaallah semoga semua yang kulalui ini dapat memberi sumbangan terhadap anak didikku.Kini aku teringat akan pantun zaman-berzaman;

                                                             Buah cempedak diluar pagar,
                                                             Ambil galah tolong jolokkan, 
                                                             Saya budak baru belajar,
                                                             Kalau salah tolong tunjukkan.

Semoga sudi berkongsi-kongsi ilmu dan pengalaman.....