Monday 5 December 2011

Peribahasa



Peribahasa Budaya Melayu Turun-temurun Warisan Zaman 

Orang melayu memang kaya dengan budaya berbahasa. Setiap tutur kata sentiasa sahaja diambil kira agar si pendengar tidak terlalu terasa hati apabila kita mermerkatakan tentang dirinyanya. Budaya ini menjadi amalan sejak nenek moyang kita walaupun kini semakin hari semakin dilupakan.

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Manakala peribahasa tradisi pula merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda.  

Peribahasa, seperti yang sudah diketahui umum, merupakan satu daripada cabang sastera lama, bukan sahaja bagi bangsa Melayu tetapi juga bagi hampir semua bangsa di dunia. Sebelum ada undang-undang yang mengawal perilaku hidup manusia bermasyarakat, orang bijak pandai dalam sesuatu bangsa pada zaman itu telah mencipta beberapa petua, nasihat atau petunjuk sebagai  peraturan tatatertib pergaulan, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia. Petua, nasihat atau petunjuk itu diambil daripada alam sekeliling, contohnya perangai dan sifat manusia itu sendiri, juga daripada sifat dan tabiat binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Peribahasa yang bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama, unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas pemikiran serta perasaan mereka. 

Dalam konteks masyarakat, peribahasa mempunyai dua tujuan utama, iaitu menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaannya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya.

Contohnya, untuk meluahkan rasa marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa
berikut,
  
Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Harapkan pagar, pagar makan padi

 Menerusi peribahasa juga kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati. Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan Pak Pandir. Peribahasa dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar  dan logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa,perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan 

Kita dapat lihat dengan lebih lanjut lagi tentang peribahasa Melayu melalui http://www.slideshare.net/mohamednaim/pengajaran-peribahasa seperti di bawah ini;






No comments:

Post a Comment